KARAMJIT mendapat jaminan akan dibantu KBS. FOTO ROHANIS SHUKRI.
KARAMJIT mendapat jaminan akan dibantu KBS. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Marican menegaskan bahawa pihaknya akan berusaha membantu bekas juara rali dunia, Karamjit Singh untuk beraksi semula.

Bukan hanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membantu malah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) turut memaklumkan kerjasama bersama pelumba rali negara itu dari segi kepakaran dan khidmat dalam menaikkan sukan rali di Malaysia.

Reezal dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya berkata, beliau sedar akan harapan orang ramai yang menzahirkan keprihatinan terhadap Karamjit untuk melihat beliau beraksi semula.

Justeru KSB bersedia memberi komitmen sebaik mungkin agar impian 'The Flying Sikh' itu akan direalisasikan.

"Saya sudah berjumpa dengan beliau dan mendengar situasi beliau ketika ini. "KBS akan berusaha membantu beliau dalam usaha untuk mencari penajaan dan sokongan bagi membolehkan beliau dapat berlumba semula," katanya.

Turut hadir pada sisi perjumpaan itu adalah Ketua Setiausaha KBS, Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif, dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Bagaimanapun, berhubung isu pemberian wang pencen, ia akan dikaji semula kerana seperti yang sedia maklum pemberian wang pencen adalah membabitkan atlet yang beraksi di pentas Olimpik dan Paralimpik.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 8:56 PM