SHELLY-Ann. FOTO Agensi
SHELLY-Ann. FOTO Agensi
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Pelari pecut legenda dari Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce berkata penampilannya dalam acara 200m di Kejohanan Klasik Prefontaine akan menjadi petunjuk penting untuk dia mempertimbangkan sama ada akan terus beraksi dalam acara 100-200m di Kejohanan Dunia di trek yang sama di Hayward Field Julai ini.

"Saya teruja menyertai acara 200m kerana anda dapat melihatnya sekarang, OK, di sinilah saya berada dan inilah yang saya mahu lakukan," kata pelari Jamaica berusia 35 tahun itu yang kini mendahului catatan masa terbaik dunia dalam acara 100m, 10.67s tahun ini.

Dalam aksi Kejohanan Klasik Prefontaine di Eugene itu dia akan berlari bersama finalis 200m di Olimpik Tokyo Shaunae Miller-Uibo dan juara dunia dalam dewan menerusi acara 60m, Mujinga Kambundji.

Fraser-Pryce menamatkan saingan 200m di Olimpik Tokyo di tempat keempat, tahun ini sudahpun merekodkan 22.79s dalam acara 200m.

Namun pemenang lapan pingat Olimpik dan 11 pingat di Kejohanan Dunia termasuk sembilan pingat emas berkata, dia hanya akan memutuskan sama ada akan meneruskan penyertaan di Kejohanan Dunia dalam acara 100-200m itu hanya selepas kejohanan ujian Jamaica nanti.

Sebagai juara bertahan di Kejohanan Dunia di Doha pada 2019, Shelly-Ann mempunyai masa untuk membuat persediaan dalam acara 100m namun dia tidak yakin untuk beraksi dalam dua acara.

"Tahun lalu beraksi dua cara sangat sukar," katanya.

"Saya fikir ia akan mudah tapi ia sangat sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 11:53 AM