SKUAD karate lelaki negara menghasilkan sasaran pingat emas ke-36 dalam acara akhir kumite berpasukan lelaki semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
SKUAD karate lelaki negara menghasilkan sasaran pingat emas ke-36 dalam acara akhir kumite berpasukan lelaki semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim

Kuala Lumpur: Skuad karate negara adalah contoh terbaik mempamer aksi konsisten di Sukan Sea.

Mereka mungkin kehilangan mahkota juara keseluruhan kepada tuan rumah Vietnam pada edisi ke-31 Sukan Sea di Hanoi tetapi tetap mempamerkan satu lagi prestasi yang menakjubkan.

Skuad karate negara adalah pemenang keseluruhan pada edisi 2013 di Myanmar, manakala di tuan Singapura 2015, tuan rumah menggugurkan acara karate tetapi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Filipina, mereka kembali muncul juara keseluruhan.

Mereka menamatkan kempen di Hanoi dengan meraih empat pingat emas dan enam pingat gangsa di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh.

Pendatang baru, H Sureeya Sankar dan C Shahmalarani membuat penampilan sulung sensasi apabila masing-masing memenangi acara lelaki bawah 67kg dan wanita bawah 50kg.

Atlet berpengalaman, R Sharmendran yang baru pulih daripada pembedahan lutut, meraih emas ketiga dalam acara bawah 75kg lelaki.

Pasukan Kumite lelaki Sharmendran, Sureeya, S Prem Kumar, S Geerijaieswaran, Arif Afifuddin Ab Malik, V Kueggan dan G Katish kemudian menghadiahkan emas ke-36 kontinjen negara dengan menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir.

Ia adalah gelaran berpasukan lelaki pertama Malaysia sejak Sukan Sea 1993 di Singapura.

Jurulatih kumite, R Puvaneswaran bangga melihat anak didiknya menamatkan penantian 29 tahun mereka untuk meraih emas kumite berpasukan lelaki.

"Pasukan kumite beraksi cemerlang untuk memenangi pingat emas acara berpasukan. Kali terakhir kami memenanginya pada Sukan Sea Singapura 1993.

"Kami sudah melalui tujuh Sukan Sea dan tidak memenangi pingat emas tetapi atlet kami meningkatkan prestasi mereka untuk memenanginya selepas 29 tahun," kata bekas jaguh karate negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 7:02 PM