PELUMBA basikal berpengalaman negara, Harrif Saleh. FOTO FB HARRIF SALEH
PELUMBA basikal berpengalaman negara, Harrif Saleh. FOTO FB HARRIF SALEH
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Selepas pasukan basikal bukit menghadiahkan emas pada Selasa lalu, pelumba skuad berbasikal kebangsaan berhasrat menambah pingat apabila acara lebuh raya di Sukan Sea Hanoi dimulakan, esok.

Pertaruhan terbaik Malaysia dalam acara lebuh raya adalah pelumba pecut terkenal, Harrif Saleh dalam acara kriterium lelaki yang akan diadakan di Hoa Binh, kira-kira 70 kilometer dari Hanoi, esok.

Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu akan dibantu dua rakan senegara, Nur Aiman Zariff dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Pengurus skuad berbasikal negara, Firdaus Arshad berkata, laluan disediakan tuan rumah agak mencabar bagi trio berkenaan untuk menyusup dengan pecutan ke garisan penamat.

"Penganjur memilih laluan landai sejauh 1.5km untuk acara kriterium dan kami menjangkakan catatan masa yang pantas.

"Reka bentuk laluan agak mendatar dan lebar berbanding kebiasaan yang agak sempit dan memerlukan kemahiran teknikal.

"Laluan agak lurus dan lebar ini akan mengurangkan kelebihan kami kerana pecutan akhir dijangka terbuka.

"Selain itu, penganjur hanya membenarkan tiga pelumba sepasukan bagi acara kriterium berbanding lima hingga enam pelumba di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017," katanya.

Menurutnya, Aiman dan Amirull akan memainkan peranan penting untuk membantu Harrif melakukan pecutan dan Amirull akan menjadi pengganti sekiranya Harrif berdepan masalah.

Harrif menang dua pingat emas di Singapura 2015 bagi acara kriterium dan lebuh raya lepas beramai-ramai, selain menang emas kriterium di Kuala Lumpur 2017.

Bagi acara kriterium wanita, Malaysia akan diwakili Nur Aisyah Mohamad Zubir, Siti Nur Alia Mansor dan sama ada Ju Pha Som Net atau Nur Aisyah Munirah Chek Ramli, esok.

Selasa lalu, skuad basikal bukit dibarisi Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon mencipta sejarah memenangi emas acara merentas desa berpasukan Olimpik.

Dua lagi acara lebuh raya iaitu ujian masa individu dan lepas beramai-ramai akan diadakan pada Khamis dan Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 9:03 PM