RUBLEV tiba di Dubai pada hari yang sama dia perlu turun beraksi dalam pusingan pertama. FOTO Reuters
RUBLEV tiba di Dubai pada hari yang sama dia perlu turun beraksi dalam pusingan pertama. FOTO Reuters
Reuters

Dubai: Andrey Rublev sebelum ini gusar akan tersingkir awal di Kejohanan Dubai selepas tiba lewat di negara berkenaan namun pemain Russia itu sentiasa memberitahu bahawa dapat mengawal emosi banyak membantunya untuk menumpaskan Daniel Evnas dari Britain.

Rublev berjaya menumpaskan Evans 6-4, 7-5 di pusingan pertama di Dubai, dua hari selepas dia memenangi kejuaraan perseorangan dan beregu di Marseille.

Pemain berusia 24 tahun itu tiba di Dubai pada jam 2 pagi pada hari sama dia perlu turun ke gelanggang menentang Evans, membuatkan dia sedikit kurang yakin.

"Saya fikir memang tidak ada peluang untuk menang. Saya sangat gembira kerana tidak jangka dengan keputusan ini," kata Rublev.

Pemain nombor tujuh dunia itu berkata, dia melakukan sesi memanas badan yang lebih lama daripada biasa dan berikrar untuk kekal fokus sepanjang perlawanan bagi memberi peluang kepada dirinya sendiri bermula dengan baik di kejohanan bertaraf ATP 500.

"Satu-satunya peluang untuk menang hari ini ialah beraksi dengan baik... kawal emosi, untuk tidak menunjukkan perkara negatif, tidak merungut dan tidak berkata perkara yang tidak baik.

"Jika saya terganggu, (di dalam gelanggang) saya boleh memusnahkan segala-galanya. Saya tahu jika saya akan mula melakukan ini, saya akan bermain lebih teruk kerana saya tidak merasakan pukulan dengan baik dan saya tidak boleh membiarkannya berlaku.

"Saya perlu kekal fokus untuk merasai permainan sebenar... jika saya kehilangan mata perlawanan. Saya akan membuat pukulan meliar," katanya.

Rublev, yang juga pilihan kedua di Dubai, seterusnya akan menentang Kwon Soon Woo dari Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:53 PM