Farah Ann
Farah Ann

Kuala Lumpur: Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi akan meneruskan misi untuk mengharumkan nama negara dan sebagai atlet senior dalam skuad gimnastik dia bertekad untuk memberikan yang terbaik.

Bakal menempuh tiga kejohanan utama, Farah menjelaskan apa yang perlu diberi perhatian adalah memastikan dia bebas daripada sebarang kecederaan untuk mencapai kemuncak prestasi pada tiga temasya utama bermula dengan Sukan Sea Vietnam, Sukan Komanwel dan Asia.

Namun pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu sedar adalah sukar untuk dia berada di tahap terbaik kerana tiga temasya berkenaan berlangsung dalam waktu yang dekat.

"Tak ada masalah untuk mencapai kemuncak prestasi di ketiga-tiga temasya itu. Tapi saya perlu sentiasa bekerjasama dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) serta jurulatih mengenai perkara itu sebab utama adalah atlet gimnastik ini selalu dihantui kecederaan.

"Tapi bagi saya, saya akan fokus satu demi satu dulu dan kemudian kita lihat apa yang selanjutnya," katanya.

Mengulas mengenai peluang untuk mendapatkan pingat di temasya Komanwel dan Asia, Farah berkata, ia bukan satu yang mustahil namun terdapat sedikit kekangan terutama kekurangan pertandingan sejak daripada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat di temasya Komanwel dan Asia adalah menerusi Ng Shu Wai yang meraih perak pada Komanwel 2006 di Melbourne di Sukan Asia Doha.

Sementara itu Farah yang ditemui selepas majlis perjumpaan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyambut baik langkah MSN menaikkan kadar elaun pemenang perak dan gangsa Sukan Sea serta Sukan Para Asean yang diyakini mampu melonjakkan semangat atlet untuk menampilkan prestasi terbaik ketika beraksi di Vietnam nanti.

Kelmarin, Ahmad Faizal mengumumkan pemenang perak akan menikmati kenaikan elaun daripada RM800 kepada RM1,500, manakala gangsa pula dari RM800 kepada RM1,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 7:01 AM