REAKSI Madison sejurus menewaskan Barbora.
REAKSI Madison sejurus menewaskan Barbora.
AFP

Melbourne: Madison Keys mara ke separuh akhir Terbuka Australia buat kali pertama sejak 2015 apabila mengejutkan juara Terbuka Perancis, Barbora Krejcikova hari ini.

Pemain bukan pilihan dari Amerika Syarikat itu yang menduduki ranking ke-51 terlalu hebat buat pilihan keempat dari Czech yang jelas bermasalah dalam cuaca panas apabila tewas 6-3, 6-2 di Rod Laver Arena.

Madison dijangka menentang pemain nombor satu dunia Ashleigh Barty untuk memburu tempat ke final.

"Kemenangan yang sangat bermakna," kata Madison. "Tahun lalu memang sukar.

"Saya melakukan apa sahaja bersama pasukan bagi mengibarkan cabaran baharu tahun ini. Bermula dengan kosong dan melupakan apa yang berlaku tahun lalu.

"Wow, tak sangka saya mara sejauh ini. Saya bangga dengan diri sendiri."

Ia separuh akhir kedua di Melbourne Park buat Madison yang kali terakhir mara ke peringkat itu pada 2015 namun tewas kepada juara Serena Williams.

"Saya berlatih di Orlando yang saya anggap tempat paling panas di dunia ketika musim panas," kata Madison.

"Saya sudah biasa dengan bahang seperti ini, jadi ia bonus kepada saya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 11:57 AM