AKRAMUDDIN kini memangku jawatan Presiden PSM. FOTO Asyraf Hamzah
AKRAMUDDIN kini memangku jawatan Presiden PSM. FOTO Asyraf Hamzah
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemangku Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz membayangkan akan bertanding jawatan presiden persatuan berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 12 Februari ini.

Katanya, semua presiden negeri layak bertanding dalam menentukan penyandang nombor satu berkenaan tapi yang lebih utama memastikan sukan berkenaan lebih cemerlang di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Menurutnya, presiden lapan persatuan negeri boleh bertanding kecuali tiga negeri yang keluar daripada persatuan terbabit.

Beliau berkata, PSM sudah menghantar surat mempelawa persatuan berkenaan kembali dalam persatuan itu, namun mereka mungkin tidak selesa sehingga menolak pelawaan terbabit.

Akramuddin berkata, dua surat sudah dihantar untuk tujuan mereka kembali bersama PSM tetapi mereka enggan bersama buat masa ini.

Sehubungan itu, jawatankuasa baharu yang akan dilantik akan memutuskan penyertaan mereka dalam PSM semula kelak.

"Semua presiden negeri layak bertanding termasuk saya. Namun buat masa sekarang saya tak nak komen dan kita akan lihat apa yang akan berlaku. Individu tidak penting kerana lebih utama pembangunan sukan berkenaan diberi perhatian.

"Apapun tiga persatuan berkenaan diharap akan kembali menyertai PSM selepas ini. Apa yang kita harapkan pemilihan kali ini akan berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:59 PM