Siti Nor Suhaida Jafri
Siti Nor Suhaida Jafri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pingat perak di Sukan Sea Vietnam menjadi buruan buat tekong skuad takraw wanita negara, Siti Nor Suhaida Jafri bagi meyakinkan Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa mereka layak dihantar bertanding di Sukan Asia Hangzhou.

Menurutnya, dia mahu penampilan kali ketiga di temasya berkenaan dapat meraih sesuatu yang bermakna sekali gus mendapat kepercayaan daripada MSN.

"Memang sasaran utama saya sekarang ini adalah Sukan Sea dan sekarang kami sibuk dalam fasa latihan dan pemilihan sebelum menyertai satu kejohanan peringkat kebangsaan di ibu negara bulan depan," katanya.

Menurut pemain kelahiran Kelantan itu, dia tidak kisah untuk meraih perak dalam acara apa sekali pun janji pingat berkenaan berjaya di bawa pulang.

"Saya sudah berjanji kepada diri sendiri hendak membawa pulang perak ke tanah air tidak kisah dalam acara apa pun. Sebab dari situ MSN akan menilai mengenai keputusan kami di Sukan Sea.

"Dari situ mereka akan melihat skuad wanita ada peningkatan atau tidak kerana kami diletakkan dalam kategori B," kata Siti Nor Suhaida.

Kali terakhir dia mewakili negara di Sukan Asia ialah di Palembang pada 2018 namun skuad wanita negara tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat.

Skuad wanita memulakan latihan dan pemilihan semalam dengan membabitkan 15 pemain namun hanya 12 yang akan didaftarkan beraksi di Sukan Sea, manakala tiga lagi pemain diletakkan dalam senarai menunggu.

Kejohanan di Kuala Lumpur 4 hingga 5 Februari depan juga akan dipantau untuk melihat bakat baru dan mempunyai kelebihan diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:17 PM