Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sukan Sea Vietnam akan tetap dianjurkan mengikut jadual sekali gus menafikan kebimbangan sama ada akan berlaku pembatalan atau penangguhan sekali lagi temasya sukan dwi tahunan itu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ketika ini pihaknya serta negara rantau Asia Tenggara lain hanya menunggu buku panduan untuk protokol Covid-19 bagi temasya itu.

"Untuk ketika ini, ia akan diteruskan. Kami hanya tunggu buku panduan untuk protokol Covid-19. Seperti yang saya katakan sebelum ini, penganjuran temasya itu akan terus fokus ke hadapan tetapi segala-galanya tertakluk kepada protokol dalaman mereka sendiri," katanya.

Jelas Norza, Covid-19 tidak seharusnya menjadi penghalang kepada sesebuah negara yang mahu menganjurkan temasya sukan seperti mana sudah dibuktikan pada Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo meskipun penularan Covid-19 belum reda.

"Kita sudah boleh buat dalam keadaan Covid-19 yang begitu kuat apabila Olimpik dan Paralimpik Tokyo berjaya dianjurkan. Sekarang kita melihat kepada Sukan Sea pula dengan protokol sama," katanya.

Edisi ke-31 temasya sukan itu sepatutnya berlangsung dari 21 November sehingga 2 Disember tahun lalu namun ditangguhkan kepada 12 hingga 23 Mei berikutan penularan pandemik Covid-19.

Keraguan terhadap penganjuran temasya itu timbul sekali lagi selepas kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Vietnam yang sepatutnya berlangsung dari 22 sehingga 27 Mac depan dibatalkan minggu lalu.

Ia selepas berlaku peningkatan jumlah kes Covid-19 di negara itu termasuk di Hanoi, salah satu daripada 11 lokasi temasya Sukan Sea.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:39 PM