Ini juga kemenangan pertama Eain Yow dalam kejohanan itu, selepas membantu Malaysia merangkul Kejohanan Berpasukan Asia. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
Ini juga kemenangan pertama Eain Yow dalam kejohanan itu, selepas membantu Malaysia merangkul Kejohanan Berpasukan Asia. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain skuasy lelaki utama negara Ng Eain Yow mengotakan janjinya selepas berjaya menamatkan kemarau selama sedekad Malaysia untuk menjuarai Kejohanan Individu Asia 2021 di Islamabad, Pakistan, hari ini.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, menewaskan pemain nombor 49 dunia, Yip Tsz Fung dari Hong Kong, 11-6, 13-11, 11-9 dalam masa 34 minit untuk dinobatkan sebagai juara kategori lelaki.

Ini juga kemenangan pertama Eain Yow dalam kejohanan itu, selepas membantu Malaysia merangkul Kejohanan Berpasukan Asia, pada awal bulan ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018, Mohd Nafiizwan Adnan adalah pemain Malaysia terakhir memenangi kejuaraan lelaki pada 2011.

Sementara itu, pemain nombor 39 dunia Rachel Arnold gagal membawa merangkul gelaran juara wanita untuk Malaysia apabila tewas kepada Tong Tsz Wing, juga dari Hong Kong, 8-11, 11-13, 5-11.

Ratu skuasy yang juga juara sembilan kali kejohanan Asia Datuk Nicol David ialah pemain wanita negara terakhir yang memenangi kejohanan itu pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 9:19 PM