Rachel Arnold (kiri) memastikan mata kemenangan pertama negara selepas menewaskan pemain Hong Kong, Liu Tsz Ying. FOTO Ihsan Team Malaysia
Rachel Arnold (kiri) memastikan mata kemenangan pertama negara selepas menewaskan pemain Hong Kong, Liu Tsz Ying. FOTO Ihsan Team Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan skuasy wanita negara membuktikan mereka adalah jaguh Asia apabila berjaya menundukkan juara bertahan Hong Kong pada final Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan mereka berjaya mengekalkan rentak cemerlang selepas berjaya merangkul kejuaraan di Terbuka Malaysia.

Pada perlawanan akhir itu pemain berpengalaman Rachel Arnold tidak berhadapan masalah untuk menundukkan Liu Tsz Ying 11-6, 8-11,11-7, 11-2 dalam tempoh 32 minit.

Walaupun tewas pada set kedua, Rachel bangkit pada perlawanan seterusnya untuk memastikan kemenangan itu.

Namun, perlawanan kedua pula menyaksikan wakil dari Hong Kong, Tong Tsz Wing berjaya menyamakan kedudukan apabila menewaskan Ainaa Amani dengan keputusan 11-8, 11-6, 6-11, 11-9 dalam tempoh 41 minit dan harapan negara tertumpu kepada perlawanan terakhir antara Aifa Azman dan Ho Tze Lok.

Aifa yang juga juara Terbuka Malaysia memenangi perlawanan ke atas Tze Lok dengan keputusan 11-4, 11-3, 11-6 dalam tempoh 21 minit sekali gus menjadikan keputusan memihak kepada Malaysia.

Untuk rekod, ia adalah kemenangan ke-10 buat pasukan wanita dengan kali terakhir merangkul kejuaraan skuasy berpasukan Asia Wanita adalah pada 2016 apabila berjaya menewaskan India.

Pada edisi 2018 di Cheongju, Korea Selatan, skuad wanita meraih tempat ketiga dengan Hong Kong pada ketika itu muncul juara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 7:08 PM