IRWANDIE dinobat pelumba terbaik Asia.
IRWANDIE dinobat pelumba terbaik Asia.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Percubaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandie Lakasek untuk bergelar juara peringkat kedua Jelajah Thailand hari ini, tidak kesampaian apabila 'photo finish' menyaksikan Lucas Carstensen dari pasukan Bike Aid terlebih dahulu sampai ke garisan penamat.

Peringkat kedua menyajikan laluan sejauh 228 kilometer (km) yang bermula dari Phatthalung ke Songkhla kembali ke Phatthalung itu menyaksikan penyudah beramai-ramai ke garisan penamat.

Irawandie mengerah sepenuh tenaganya dan akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan di tempat kedua dengan catatan masa lima jam 19:08 saat manakala pelumba dari Sapura Cycling Team (TSC), Mohamad Saari Amri Abdul Rasim di kedudukan ketiga.

Keputusan itu menyaksikan Irwandie yang menyertai siri jelajah Grand Prix Mediterrennean di Turkie Mac lalu muncul pelumba terbaik Asia membolehkannya menyarung jersi ungu.

"Syukur Alhamdulillah sampai dengan selamat, terima kasih kepada rakan pasukan yang membantu saya hari ini. Tapi belum ada rezeki lagi untuk muncul juara. Insya-Allah saya cuba lagi untuk peringkat seterusnya dan kekalkan jersi," katanya.

Saingan peringkat ketiga esok menawarkan laluan sejauh 146km akan bermula dari Phatthalung menuju ke Trang. Saingan kali ini dijangka memihak kepada pakar pendaki apabila menawarkan tiga peringkat pendakian kategori satu, dua dan tiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:02 PM