CHONG Wei dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan.
CHONG Wei dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sesuatu yang langsung tidak pernah disangka, seorang budak nakal tidak minat membaca buku akhirnya menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan.

Hari ini, jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima anugerah berkenaan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang disempurnakan oleh Canselor Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersempena Upacara Konvokesyen USM Ke-58.

Ia satu perkhabaran yang pasti membuatkan ibunya turut gembira di atas anugerah tidak pernah dijangkakan itu.

"Siapa sangka budak nakal ini dapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan. Mak pasti paling gembira saya rasa. Akhirnya anak dia boleh sertai majlis konvokesyen dan pakai topi empat segi.

"Tapi baru perasan tadi, rupanya topi bulat pula. Kepada sesiapa yang nak kasi bunga konvo dekat saya, saya minta sejambak bunga kubis boleh?" tulis Chong Wei.

Chong Wei dalam hantaran di laman Facebooknya bertekad untuk terus berusaha menyumbang bakti dalam arena sukan Malaysia semampu yang boleh.

Sementara itu Majlis Olimpik Malaysia merakamkan setinggi tahniah kepada Chong Wei di atas penganugerahan itu.

"Bagi pihak seluruh warga MOM, kami berasa amat bangga di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan oleh USM kepada legenda badminton negara.

"Ia suatu pengiktirafan tinggi daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan sukan negara, khususnya dalam sukan badminton," kata Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden MOM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:30 PM