AIFA benam cabaran Jemyca.
AIFA benam cabaran Jemyca.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan skuasy wanita negara akan berdepan Jepun pada aksi separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia, esok selepas berjaya melakarkan kemenangan ketiga dalam saingan peringkat kumpulan, hari ini.

Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, skuad wanita yang dibarisi Aifa Azman, Chan Yiwen dan Ainaa Amani mudah membenam Filipina untuk meraih kemenangan 3-0.

Biarpun meraih ketiga-tiga kemenangan dalam saingan kumpulan, ketua pasukan Rachel Arnold yang direhatkan berkata, mereka tetap perlu berhati-hati dengan Jepun. Ini kerana Jepun membariskan dua pemain berpengalaman yang pernah merangkul gangsa di Sukan Asia Jakarta 2018, Satomi Watanabe dan Risa Sugimoto serta Akari Midorikawa dan Rafa Takahashi.

"Jepun menurunkan pemain berpengalaman. Kita tidak boleh pandang rendah kemampuan mereka. Semangat mereka sangat tinggi. Dalam acara berpasukan ini, semangat itu sangat penting, jadi tumpuan perlu diberikan sedari awal lagi," katanya yang dijangka berdepan Satomi.

Kali terakhir Rachel bertemu Satomi adalah di separuh akhir Terbuka Australia 2019 yang menyaksikan dia tewas dalam pertarungan lima set.

Terdahulu pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Aifa diturunkan selaku perseorangan pertama menewaskan Jemyca Aribado 11-1, 11-7, 11-8 dalam tempoh 18 minit manakala Yiwen meraih kemenangan ke atas Yvone Alyssa Dalida 11-2, 11-1, 11-3. Ainaa melengkapkan kemenangan selesa pasukan selepas menundukkan Lizette Reyes 11-3, 11-6, 11-3 untuk muncul selaku juara Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:15 PM