Andy Murray. FOTO Agensi
Andy Murray. FOTO Agensi
AFP

Stockholm: Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray mencatat kejayaan kedua mengatasi pemain kelompok 10 terbaik dalam tempoh dua minggu selepas menewaskan pilihan utama, Jannik Sinner di Stockholm.

Juara tiga kali kejohanan utama, Murray mengalahkan pemain nombor 10 dunia itu, 7-6 (7/4), 6-3 untuk mara ke suku akhir.

Murray juga menewaskan pemain Poland, Hubert Hurkacz yang berada di ranking kesembilan dunia ketika di Vienna.

"Ia perlawanan yang sengit. Dia berjaya memukul bola dengan kuat dari sudut belakang gelanggang jadi terdapat banyak rali dan banyak berlari." kata Murray kepada atptour.com.

"Namun ia mungkin kemenangan terbaik saya musim ini. Saya mahu mengekalkan prestasi seperti ini."

Murray kini berada di ranking 143 dunia, akan berdepan Tommy Paul dari Amerika Syarikat untuk tempat dalam kelompok empat terakhir.

Paul menewaskan rakan senegara dan pilihan kelima, Taylor Fritz 6-4, 6-4.

Penyandang juara dan pilihan ketiga, Denis Shapovalov pula menewaskan pemain kelayakan dari Itali, Andrea Vavassori 7-6 (7/1), 6-1.

Shapovalov akan berdepan pemain Perancis, Arthur Rinderknech yang mengatasi Jozef Kovalik dari Slovakia, 6-4, 6-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 9:32 AM