Pelumba dari Itali, Elia Viviani. FOTO Agensi
Pelumba dari Itali, Elia Viviani. FOTO Agensi
AFP

Paris: Jaguh pecut Itali, Elia Viviani menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama pasukan lumba basikal Ineos di mana semalam turut mengumumkan tiga lagi pelumba baru mereka termasuk juara Sepanyol, Omar Fraile.

Viviani yang memenangi perlumbaan kelayakan Kejuaraan Trek Dunia minggu lalu, mewakili Cofidis musim lalu tetapi pernah beraksi bersama pasukan British itu di bawah bimbingan Dave Brailsford yang tampil sebagai Sky ketika itu dalam tempoh tiga tahun bermula 2015 hingga 2017.

"Sejak saya meninggalkan pasukan, saya memikirkan pada satu hari saya mungkin akan kembali dan hari ini sudah tiba dan saya pastinya gembira," kata Viviani kepada laman web Ineos.

"Sepanjang tempoh saya tidak bersama pasukan, saya tidak pernah terputus hubungan bersama mereka," katanya.

"Hubungan saya sangat baik bersama sebahagian besar anggota pasukan ini terutamanya Dave. Saya tidak pernah lepaskan peluang bercakap dengannya di perlumbaan mengenai basikal, pasukan saya, musim saya dan pasukan ini. Ia merupakan seperti kembali ke pangkuan keluarga buat saya.

"Tahun depan impian saya adalah untuk menang sebanyak mungkin perlumbaan selagi saya boleh kerana ia adalah tugas sebagai pelumba pecut.

"Namun saya juga mampu membantu kumpulan muda Grenadiers dan berkongsi pengalaman saya.

"Saya berharap akan menjadi contoh dan sebagai pelumba berpengalaman di kalangan kumpulan muda berbakat besar yang dalam proses pembentukan ini."

Viviani menang peringkat di semua tiga jelajah utama dalam kariernya, dia memenangi emas di Olimpik Rio 2016 dan pembawa bendera delegasi Itali di Olimpik Tokyo seterusnya memenangi gangsa dalam acara trek di temasya itu.

Dia akan menyertai rakan senegara, Filippo Ganna yang memenangi pingat emas berpasukan kejar mengejar di Olimpik bagi mewakili kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 9:46 AM