NURUL Huda Abdullah. FOTO Owee Ah Chun
NURUL Huda Abdullah. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa saja dan untuk mendedahkan perkara itu bukan satu yang mudah.

Bekas perenang negara, Nurul Huda Abdullah memuji tindakan berani penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang tampil ke depan menceritakan pengalaman peribadinya.

Ia sewajarnya menjadi ikutan dan contoh kepada lebih ramai lagi wanita untuk keluar dan mendedahkan apa yang pernah berlaku kepada mereka sekiranya berada di situasi sama seperti Pandelela.

Nurul Huda dalam satu ciapan yang di muat naik dalam laman sosial Instagram berkata, tindakan mendiamkan diri oleh mangsa akan membuat pemangsa lebih bermaharajalela.

"Saya bersama Datuk @Pandelela kerana secara terbuka berani ke depan dan melakukan apa yang sepatutnya. Berkongsi cerita mengenai gangguan seksual dan buli oleh salah seorang bekas jurulatihnya.

"Ia perlu dijadikan contoh oleh lebih ramai lagi yang mempunyai pengalaman serupa. Gangguan seksual dan serangan seksual sering berlaku kepada perempuan dan wanita berbanding apa yang diketahui awam. Kebiasaannya, mangsa ketakutan atau malu untuk tampil dan melaporkannya.

"Jika terus mendiam diri, kita secara tidak langsung akan terus melindungi pelaku," kata Nurul Huda dalam satu hantaran di Instagram.

Pemenang 22 pingat emas dalam tiga temasya Sukan Sea dari tahun 1985 hingga 1989 itu turut berkongsi pengalamannya dan bekas rakan pasukan yang pernah terbabit dalam situasi sama.

"Tidak mudah untuk tampil mencerita dan berkongsi pengalaman. Rakan saya hanya bercerita pengalamannya selepas 35 tahun.

"Ia bukan perkara remeh dan boleh berlaku kepada siapa saja tidak kira masa dan tiada had masa untuk tampil ke depan memaklumkan hal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:05 PM