Datuk Pandelela Rinong.
Datuk Pandelela Rinong.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menjelaskan bahawa dia berkongsikan kisah gangguan seksual yang membabitkan bekas jurulatihnya adalah untuk menghulurkan bantuan atau sokongan dan menggalakkan mangsa di luar sana tampil bersuara.

Menurut pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik itu, kebanyakan mangsa perbuatan tidak bermoral berkenaan berada dalam dilema sama ada untuk tampil bersuara atau mendiamkan diri.

"Saya berkongsi pengalaman yang tidak berapa manis ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam di luar sana. Memberi sokongan kepada mangsa, yang sentiasa berada dalam dilema," katanya dalam media sosial, Twitter.

Ujar atlet kelahiran Sarawak itu, paling penting pelaku dan mereka yang menyokong perbuatan berkenaan tidak seharusnya disensasikan.

"Orang lain mungkin akan terlupa, tapi bukannya mangsa," katanya yang sebelum ini berkongsikan kisah mengenai bekas jurulatihnya sering melakukan gurauan berbaur lucah.

Jelas Pandelela, dia mengingatkan bahawa semua orang termasuk dirinya sendiri mampu untuk membawa pengaruh positif kepada masyarakat sekeliling.

"Banyak perkara buruk berlaku di dalam dunia ini dan manusia masih lagi mencari jawapan. Saya hanya berharap dan berdoa kita mampu melakukan sesuatu untuk membuat perubahan dalam masyarakat kita," katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ingin memahami dan mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung isu gangguan seksual yang didedahkan Pandelela.

Kata Ahmad Faizal, beliau ingin memahami senario sebenarnya kenapa tiba-tiba selepas sekian lama Pandelela mengeluarkan kenyataan melalui media sosial.

"Saya juga ingin menghubungi mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy (Jamaluddin) kerana beliau juga mempunyai pandangan dan maklumat mengenai perkara ini," katanya.

Justeru itu, Ahmad Faizal menasihatkan semua atlet agar tidak berasa takut dan melaporkan kepada pihak berwajib jika mengalami isu gangguan seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:07 PM