MURRAY berjaya jinakkan Alcaraz untuk mara ke pusingan ketiga. FOTO AFP
MURRAY berjaya jinakkan Alcaraz untuk mara ke pusingan ketiga. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Andy Murray berhempas pulas untuk mencatat kemenangan dalam pertembungan dua generasi berbeza dengan menumpaskan pemain remaja Sepanyol, Carlos Alcaraz 5-7, 6-3, 6-2 seterusnya mara ke pusingan ketiga Terbuka BNP Paribas.

Murray, yang menyatakan bahawa Alcaraz bakal menjadi pemain nombor satu dunia, berjaya mengetepikan pemain berbakat itu di padang pasir California.

Pemain berusia 34 tahun dari Scotland itu, masih lagi bergelut selepas pulih dari kecederaan yang menyaksikan rankingnya merudum ke tangga 121 dunia.

Murray mendahului 3-0 pada set pertama sebelum Alcaraz yang mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan lalu bangkit selepas menemui sentuhan dan berjaya mematahkan servis lawan.

Selepas berjaya mengekalkan kedudukan di mata akhir pemain berusia 18 tahun itu mematahkan servis Murray buat kali kedua untuk memenangi set pembukaan.

Murray yang memperoleh wild card di kejohanan berkenaan, melakukan lapan unforced error di set kedua, manakala Alcaraz 14 kali.

Dia mematahkan servis Alcaraz yang juga pilihan ke-30 di pembukaan set ketiga dan melakukan perkara yang sama sekali lagi untuk berada di kedudukan selesa.

Bagaimanapun, pemain remaja itu terpaksa dirawat di hujung saingan akibat kecederaan kaki sekali gus memberi kelebihan buat Murray untuk merangkul kemenangan dalam aksi selama tiga jam empat minit.

"Dia sememangnya mempunyai potensi yang besar, memiliki pukulan padu dan keadaan ini membuatkan sukar untuk pemain lawan memperoleh mata. Bagaimanapun, kehebatannya adalah disebabkan dia mempunyai kelajuan ketika berada di bahagian belakang gelanggang.

"Saya merasakan di set kedua dia bermain dengan baik. Set pertama saya mempunyai banyak peluang tapi tidak dapat menyudahkannya namun saya gembira dengan cara saya bertarung di dalam gelanggang," kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Menanti Murray di pusingan seterusnya ialah pilihan ketiga, Alexender Zverev yang menumpaskan wakil tuan rumah, Jenson Brooksby 6-4, 3-6, 6-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 2:05 PM