Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Siapa yang bertanggungjawab perlu bertanggungjawab."

Demikian jawapan ketua kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berhubung kontroversi membabitkan atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Paralimpik Tokyo.

Beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) adalah antara 10 individu dipanggil bagi membantu siasatan menerusi Jawatankuasa Siasatan Dalaman dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah.

Megat dijangka hadir memberi keterangan pada Isnin atau Selasa minggu depan.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Kalau boleh kita dapat pastikan rakyat Malaysia tahu apa yang berlaku.

"Apa yang paling penting, ia dijalankan secara telus.

"Bahagian saya adalah memastikan apa yang diberikan oleh pihak penganjur Paralimpik Tokyo dan maklumat daripada WPA (Olahraga Para Dunia) diserahkan kepada jawatankuasa siasatan.

"Kita mahu telus, kalau salah, salah. Bukti semua ada," katanya.

Pada 31 Ogos lalu, Ziyad terlepas memenangi emas dan memperbaharui rekod dunia selepas catatan 17.94 meter (m) dilakukannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula).

Ia susulan bantahan yang dilakukan oleh Ukraine berikutan kelewatannya memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:49 PM