JOSHUA anggap kariernya belum lengkap selagi belum berdepan dengan Fury. FOTO Agensi
JOSHUA anggap kariernya belum lengkap selagi belum berdepan dengan Fury. FOTO Agensi
AFP

London: Anthony Joshua berkata, dia memerlukan pertarungan dengan Tyson Fury untuk rekod peribadinya sebelum menamatkan karier.

Dia berkata sukan tinju secara keseluruhan memerlukan sekurang-kurangnya satu pertarungan membabitkan dua sensasi heavyweight Britain itu.

Kedua-dua mereka sekarang ini memiliki kesemua kejuaraan utama dunia pelbagai versi bagi kategori heavyweight.

Perbincangan mengenai superfight itu, yang berlangsung selama berbulan-bulan dan nampaknya hampir berakhir dengan perjanjian awal tahun ini hanya akan menemukan Fury dengan Deontay Wilder buat kali ketiga.

Sebelum ini Fury mencatat satu keputusan seri dan selepas itu menumbangkan Wilder, manakala aksi ketiga ini dia akan cuba untuk mempertahankan tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) menentang petinju Amerika Syarikat itu di Las Vegas bulan depan.

Sebelum itu, Joshua dijadualkan bertemu pencabar dari Organisasi Tinju Dunia (WBO) Oleksandr Usyk di London pada 25 September yang dijangka akan dibanjiri 60,000 penonton di Stadium Tottenham Hotspur.

Bagaimanapun, Joshua, yang juga juara Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), mengakui bahawa pertarungan dengan Fury sangat dinantikan oleh peminat dan dia berasa ralat jika tidak berdepan dengan Gypsy King. sebelum bersara.

"Kami memerlukannya (pertarungan dengan Fury) demi sukan tinju. Itu yang kita semua mahukan, yang saya mahukan. Mari kita lihat betapa hebatnya saya nanti.

"Bertarung dengan petinju yang hebat dan ia akan membuktikan kehebatan sebenar saya. Bertarung dengan Tyson Fury adalah satu cabaran paling getir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 1:55 PM