Sabok Biki
Sabok Biki
Norsyazwani Nasri


Kota Samarahan: Selepas bersara dari arena antarabangsa, petinju kelahiran Sarawak yang pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, Mejar Sapok Biki, 47, kini memberi fokus kepada kerjaya sebagai anggota tentera.

Dia yang kini bertugas di Kem Penrissen, Batu Lapan, Kuching, turut menubuhkan Pusat Pembangunan Tinju Sapok Biki dua tahun lalu di kediamannya di Uni Garden, Kota Samarahan, di bawah Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), selain kerap dijemput untuk memberi ceramah dan motivasi mengenai sukan tinju di seluruh tanah air sejak 2001.

Menurutnya yang dilahirkan di Kampung Isu Lama, Simunjan, pusat berkenaan mempunyai seramai 35 orang ahli yang terdiri daripada golongan remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun di sekitar Kuching dan Kota Samarahan.

"Tujuan penubuhan pusat ini adalah bagi mencungkil bakat muda dan melahir pelapis dalam arena sukan tinju di Sarawak melalui latihan dan tunjuk ajar, selain menerapkan disiplin dalam diri remaja.

"Bagaimanapun, perancangan pusat ini terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berikutan penularan pandemik Covid-19 pada masa sekarang," katanya hari ini.

Berikutan itu, Sapok berkata, kesemua pelatih di pusat itu hanya menjalani latihan di rumah masing-masing pada masa ini.

"Prestasi mereka sentiasa dipantau menerusi rakaman video yang diambil untuk dinilai.

"Kita sentiasa menyuntik semangat di kalangan ahli supaya gigih menjalani latihan sendiri sementara menunggu situasi Covid-19 reda," kata bapa kepada lima orang anak itu.

Bercerita mengenai permulaan pembabitan dalam sukan tinju, Sapok berkata, pada zaman sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, dia meminati sukan olahraga dan sepak takraw, namun menjadikan legenda tinju dunia, Allahyarham Muhammad Ali sebagai idola.

"Minat dalam sukan ini berputik selepas saya menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1993.

"Ketika mengikuti latihan tentera di Port Dickson saya mengikuti latihan tinju dan menyertai beberapa pertandingan yang diadakan di kem-kem tentera dengan memperoleh kemenangan," katanya.

Bermula dari situ Sapok tidak lagi menoleh ke belakang dan bertekad terbabit secara serius dalam sukan yang diminati itu.

"Penyertaan dalam peringkat antarabangsa bermula selepas dipilih mewakili negara dalam Sukan Komanwel di Indonesia pada tahun 1994, selain Sukan Sea di Brunei, Malaysia dan Jakarta.

"Dalam banyak kejohanan yang disertai pencapaian menyumbang emas dalam acara tinju kategori Light Flyweight 48 kilogram pada Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada tahun 1998 antara pencapaian luar biasa dalam sukan tinju.

"Saya tidak menyangka mampu menewaskan peninju Kenya, Mosses Kinyua, yang juga atlet terbaik selama empat tahun di Kejohanan Afrika dalam kejohanan itu," katanya.

Sebagai penyambung legasinya dalam sukan tinju, kata Sapok, dia kini giat mengasuh dua anak lelaki yang sulung berusia 20 tahun dan anak ketiga berusia 13 tahun untuk berjinak-jinak dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:02 PM