PANDELELA Rinong (kiri) bersama Leong Mun Yee melakukan terjunan dalam saingan 10 meter platform seirama di Tokyo 2020, baru-baru ini. FOTO AFP
PANDELELA Rinong (kiri) bersama Leong Mun Yee melakukan terjunan dalam saingan 10 meter platform seirama di Tokyo 2020, baru-baru ini. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mungkin ada khabar gembira dari Pusat Akuatik Tokyo apabila dua penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong turun beraksi dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita, Rabu ini.

Selepas impian negara menyaksikan sebutir pingat dalam acara 10m seirama menerusi gandingan Pandelela-Leong Mun Yee tidak kesampaian, harapan kini disandarkan kepada Pandelela dan Jun Hoong.

Berdasarkan pencapaian, kedua-dua atlet negara itu tidak pernah mengecewakan.

Pandelela menjadi atlet pertama menghadiahkan pingat gangsa dalam acara terjun ketika Olimpik London 2012 dan Jun Hoong atlet pertama meruntuhkan kekentalan tembok besar China apabila muncul juara dunia pada 2017.

Masing-masing mempunyai peluang dan dalam sukan terjun, apa saja kemungkinan boleh berlaku dan diharapkan mereka ini boleh terus fokus biarpun ketika ini, Jun Hoong dikatakan berdepan masalah apabila mengalami alahan kegatalan.

Namun jurulatih Jun Hoong, Yang Zhuliang mengakui beliau optimis dengan kemampuan Jun Hoong dan kini atlet kelahiran Perak itu bersedia memberikan yang terbaik buat negara.

Jun Hoong tampak selesa dengan terjunannya dan selepas melalui beberapa fasa termasuklah dikatakan tidak layak beraksi, Jun Hoong kini sudah bersedia.

Atlet berusia 31 tahun itu hanya dimaklumkan layak ke Tokyo 2020 pada Jun lalu, sebulan sebelum temasya selepas dia dikatakan tidak layak beraksi, namun akhirnya Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina) bersetuju menukar syarat kelayakan kepada 18 penerjun berbanding 15 penerjun.

"Perjalanan panjang untuk saya sampai ke Olimpik. Ada yang mempersoalkan kemampuan saya dan saya tidak boleh melakukan terjunan lagi.

"Tapi akhirnya saya berjaya atas kuota Fina dan teruja dapat kembali semula ke Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:03 PM