NOURINE enggan bertarung dengan peserta Israel. FOTO Agensi
NOURINE enggan bertarung dengan peserta Israel. FOTO Agensi
AFP

Tokyo: Atlet judo Algeria, Fethi Nourine dan jurulatihnya, Amar Benikhlef sudah menyerahkan akreditasi Olimpik mereka dan akan dihantar pulang selepas enggan bertarung dengan peserta dari Israel.

Nourine akan bertemu peserta Sudan, Mohamed Abdalrasool, Isnin ini pada pusingan pertama dengan kemungkinan bertemu peserta Israel, Tohar Butbul di pusingan kedua kategori 73 kilogram (kg) lelaki.

Bagaimanapun bercakap kepada stesen televisyen Algeria Khamis lalu, sokongan politik terhadap Palestin menyebabkan dia tidak mahu menentang peserta Israel.

"Kami bekerja keras untuk sampai ke Olimpik, tetapi isu Palestin lebih besar daripada semua ini," katanya sambil menyifatkan keputusan dibuatnya itu adalah muktamad.

Hari ini, Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) mengumumkan mereka terpaksa menggantung sementara Nourine dan Benikhlef.

Sebagai tindak balas, Jawatankuasa Olimpik Algeria menyerahkan akreditasi mereka selain menyatakan akan terbang pulang dan bakal menerima hukuman penggantungan.

IJF berkata, pendirian Nourine itu bertentangan dengan falsafah Persekutuan Judo Antarabangsa.

"IJF bertegas tidak mengamalkan polisi diskriminasi, menyokong solidariti sebagai prinsip utama yang diperkuatkan dengan nilai-nilai judo," katanya.

Ini kali kedua Nourine menarik diri daripada kejohanan untuk mengelak daripada menentang peserta Israel selepas kali pertama ketika Kejuaraan Dunia 2019 di Tokyo.

Peserta judo Iran turut mencuri tumpuan apabila enggan bertanding menentang peserta Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 12:49 PM