REEZAL umum sasaran kontinjen negara  tiga pingat dengan satu daripadanya emas.
REEZAL umum sasaran kontinjen negara tiga pingat dengan satu daripadanya emas.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kebolehan dan kemampuan atlet berdasarkan 'atas kertas' mungkin tidak boleh dipakai ketika mereka bersaing di pentas Olimpik Tokyo kelak.

Hal ini kerana, rata-rata mereka mempunyai peluang sama rata dengan masing-masing hanya bergantung kepada siri latihan berikutan kekurangan pertandingan dan kejohanan peringkat antarabangsa.

Pengarah Pusat Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Hanafiah Ayub berkata, sasaran yang diletakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memenangi pingat pada edisi Olimpik kali ini sememangnya relevan berdasarkan kajian saintifik dan kebolehan atlet berkenaan yang kini mencapai tahap tertinggi.

Beliau berkata, beberapa atlet yang memiliki prospek tinggi seperti dalam acara berbasikal, terjun dan badminton sudah tentu bakal menghadiahkan kilauan pingat berdasarkan prestasi terkini mereka yang dinilai pakar dan barisan kejurulatihan.

"Sebelum ini pun kita sebenarnya sudah ada potensi memenangi emas cuma nasib saja tidak menyebelahi apabila tewas di peringkat akhir. Walaupun Olimpik 2020 ada perbezaan berbanding terdahulu namun memberi kelebihan kepada atlet negara untuk mencipta kejutan menghadiahkan kilauan emas untuk negara kerana mereka tiada beza pun dengan pesaing dari negara lain.

"Cuma, perkara penting penting yang harus mereka kuasai adalah mentaliti kerana mengikut rekod terdahulu apabila ia gagal dikawal akan menyaksikan tewas kepada lawan di peringkat akhir," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 diletakkan sasaran untuk meraih tiga pingat dengan satu daripadanya emas.

Secara realistiknya, Reezal Merican berkata, sukan badminton, berbasikal trek dan terjun menjadi sandaran utama untuk melaksanakan misi di Tokyo sekali gus membawa pulang pingat emas sulung yang ditunggu-tunggu.

Beliau berkata, sasaran itu mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak juga sebagai simbolik kepada ikatan antara rakyat dengan barisan atlet kebangsaan yang berjuang mengharung cabaran sengit demi mengharumkan nama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 10:21 PM