PELUMBA baharu TSG, Jambaljamts Sainbayar (kiri) menduduki tempat kedua Grand Prix Germenica di Turki semalam. FOTO Ihsan TSG
PELUMBA baharu TSG, Jambaljamts Sainbayar (kiri) menduduki tempat kedua Grand Prix Germenica di Turki semalam. FOTO Ihsan TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Permulaan baik buat pasukan TSG (Terengganu Cycling Team)," demikian reaksi pengurus TSG, Wan Mohd Nazri Wan Ahmad.

Pada perlumbaan pertama Grand Prix (GP) Germenica di Turki, semalam, tonggak import baharu TSG, Jambaljamts Sainbayar, tidak menunggu lama untuk membuktikan kemampuannya selepas meraih tempat kedua dalam perlumbaan sejauh 153.8 kilometer itu.

Pakar pendakian kelahiran Mongolia berusia 25 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga di belakang pemenang, Cristofer Jurado yang mencatat masa 3 jam 45 minit 36 saat.

Pelumba Minsk CC daripada Belarus, Yauheni Sobal (3:45:40s) pula melengkapkan tiga kedudukan podium pada kejohanan bertaraf 1.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

"Kami begitu gembira dengan prestasi Sainbayar yang memperagakan kayuhan bertenaga untuk menaiki podium walaupun baharu menjadi ahli keluarga TSG awal bulan lalu.

"Tidak ketinggalan pelumba lain yang beraksi baik mengikut perancangan yang diatur pasukan.

"Kita meletakkan harapan yang tinggi agar momentum ini dapat dikekalkan dan membantu misi TSG meraih sekurang-kurangnya dua kedudukan podium daripada enam perlumbaan di Turki bagi memastikan impian pasukan untuk terus mengukuhkan kedudukan di tempat pertama ranking Asia tercapai," katanya ketika dihubungi.

Pada perlumbaan itu, seorang lagi pelumba import TSG, Metkel Eyob, menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan keseluruhan dengan catatan masa 3:47:56s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 12:49 PM