Pelumba TSG bersiap sedia sebelum berlepas ke KLIA hari ini. FOTO Malik Muhamad
Pelumba TSG bersiap sedia sebelum berlepas ke KLIA hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pelumba paling muda Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, 24, mendapat kepercayaan daripada pihak pengurusan apabila dilantik sebagai kapten pasukan dalam enam siri perlumbaan Jelajah Turki bermula 3 Julai ini.

Lebih mengagumkan, pelumba kelahiran Setiu itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba termuda mengetuai TSG dalam jelajah antarabangsa sepanjang 10 tahun penubuhan pasukan bertaraf Benua Asia itu.

"Terima kasih kerana memilih saya sebagai kapten pasukan Jelajah Turki pada kali ini, ini pengiktirafan tertinggi kali pertama, mungkin pengalaman berlumba di bumi Turki sebelum ini mendorong pihak pengurusan memilih saya walaupun pelumba paling muda TSG.

"Kepercayaan ini akan saya balas dengan kayuhan terbaik bersama pasukan untuk memburu sekurang-kurangnya dua podium sebagaimana sasaran pasukan walaupun cabaran begitu mencabar kerana membabitkan laluan berbukit selain cuaca di sana sedikit panas berbanding perlumbaan sebelum ini," kata bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC) itu ketika ditemui di pejabat TSG sebelum pasukannya berlepas ke Kuala Lumpur hari ini.

Aiman yang membantu pasukan meraih lima podium Jelajah Turki pada Februari lalu mencetuskan sensasi apabila berjaya bergelar Raja Bukit pada peringkat pertama Jelajah Rwanda pada Mei lalu.

Bagi pelumba paling senior TSG, Mohd Shahrul Mat Amin, dia meletakkan harapan yang tinggi mampu menjadi pencabar utama dalam jelajah itu biarpun kali pertama beraksi di bumi Eropah.

"Ini kali pertama terpilih menyertai Jelajah Turki selepas 10 tahun bersama TSG sesudah sekian lama mengidam untuk berlumba di Eropah, saya begitu terharu dan akan melakukan yang terbaik untuk memburu podium buat kali pertama di bumi Eropah walaupun sedar cabaran pendakian berbukit beraltitud 2,000 meter lebih dari paras laut bakal menanti pelumba.

"Kami tekad untuk meneruskan penguasaan dan menamatkan kedudukan di tempat pertama ranking Asia dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain mengintai kedudukan lebih baik dalam ranking dunia," katanya.

TSG turut mempertaruhkan enam lagi pelumba iaitu Muhamad Afiq Huznie Othman,pelumba import dari Russia, Artem Ovechkin, Metkel Eyob (Eriteria), Youcef Reguigui (Algeria), Joroen Meijers (Belanda) dan pelumba baharu dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar.

Lapan pelumba itu bakal bertarung dalam perlumbaan berstatus 1.2 di Turki bermula 3 hingga 18 Julai ini.

Skuad TSG bakal berlepas ke Turki pada malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, untuk berkampung selama 24 hari di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 5:23 PM