AKSI Fury (kiri) dan Wilder pada pertembungan kedua mereka. FOTO AFP
AKSI Fury (kiri) dan Wilder pada pertembungan kedua mereka. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Tyson Fury dan Deontay Wilder secara dasarnya bersetuju untuk pertarungan kali ketiga, lapor ESPN beberapa hari selepas perbincangan pertarungan antara Fury dan juara Britain, Anthony Joshua dihentikan.

Pertarungan antara Wilder and Fury kemungkinan akan berlangsung seawal 24 Julai di Las Vegas, kata penyiar sukan Amerika itu sambil menambah 14 Ogos adalah pilihan kedua untuk tarikh pertarungan itu.

Promoter tinju, Bob Arum memberitahu ESPN beliau menjangkakan kontrak berhubung pertarungan itu akan ditandatangani dalam tempoh beberapa hari lagi.

Fury akan memperoleh 60 peratus daripada wang kemenangan pertarungan itu manakala Wilder menerima ganjaran lebih rendah.

Kedua-dua petinju heavyweight itu meraih keputusan seri pada 2018 dan Fury menang dengan keputusan TKO untuk memenangi gelaran heavyweight WBC pada pertemuan kedua tahun lalu.

Fury pada asalnya dijadual bertemu Joshua namun kedua-duanya gagal mencapai persetujuan bersama.

Fury dan Wilder tidak pernah beraksi sejak Februari 2020, iaitu selepas Fury menewaskan Wilder di pusingan ketujuh.

Mereka berdua mempamer pertembungan epik pada 2018 di Staples Center Arena di Los Angeles apabila meraih keputusan seri selepas 12 pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 2:04 PM