ALLYSON akan sertai Olimpik Tokyo. FOTO AFP
ALLYSON akan sertai Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Bintang trek dan balapan Amerika Syarikat (AS), Allyson Felix berkata, Sukan Olimpik Tokyo akan menjadi penampilan terakhirnya di Olimpik namun dia tidak meletakkan tempoh sebenar persaraannya.

Pelari pecut berusia 35 tahun itu yang muncul satu-satunya atlet trek dan balapan wanita memenangi enam pingat emas di Olimpik berkata, meskipun mungkin akan terus aktif selepas Olimpik Tokyo, dia menegaskan tidak akan menyertai Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya sudah merancang bahawa kali ini adalah penampilan terakhir di Olimpik," kata Allyson kepada wartawan di sidang kemuncak Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS yang berlangsung secara dalam talian.

"Saya tidak pasti berapa lama lagi saya akan berlari. Saya hanya mengambil pendekatan sejauh mana lagi yang mungkin boleh dicapai.

"Saya tidak melihat diri saya akan menyertai satu lagi Sukan Olimpik. Tapi saya belum menetapkan tempoh akhir untuk bersara."

Allyson akan beraksi pada temasya Olimpik kelima di Tokyo selepas membuat penampilan kali pertama pada 2004 di Athens yang menyaksikannya memenangi pingat perak dalam acara 200 meter (m).

Di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, Allyson memenangi pingat perak dalam acara 400m dan emas menerusi acara lari berganti-ganti 4x100m dan 4x400m.

Allyson berkata, dia bergelut untuk mengekalkan tahap kecergasan selepas Olimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung tahun lalu terpaksa ditangguhkan.

"Ia detik yang sukar buat semua pihak. Ada yang kehilangan orang tersayang, diberhentikan kerja dan tidak dapat melalui kehidupan yang normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 10:59 AM