HARRIF menggalas tanggungjawab besar pada Sukan Sea Vietnam. FOTO FB TSG
HARRIF menggalas tanggungjawab besar pada Sukan Sea Vietnam. FOTO FB TSG
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba pecut terbaik negara, Harrif Saleh bakal memikul tanggungjawab besar bagi memastikan skuad berbasikal negara membawa pulang sebutir pingat emas di temasya Sukan Sea Vietnam hujung tahun ini.

Harrif yang sebelum ini melakar sejarah buat negara menjadi pelumba tempatan pertama dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 memenangi dua peringkat, menjadi sandaran utama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab memaklumkan perkara itu ketika ditanya berhubung sasaran skuad berbasikal negara pada temasya dwi tahunan itu ketika Malaysia sekadar membawa pulang satu gangsa dua tahun lalu menerusi Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff menerusi acara BMX 'freestyle flatland' lelaki.

"PKBM sasarkan satu emas. Itu dalam acara kriterium menerusi Harrif. Jika dia dapat berlumba dengan baik tak cedera, saya rasa tiada masalah untuk dia menghadiahkan emas buat Malaysia.

"Kali ini juga PKBM akan menggunakan pendekatan yang berbeza dari segi latihan, iaitu dengan memecahkan penyertaan pelumba. Kriterium kita akan bagi pada pasukan TSG (Terengganu Cycling Team) dan ITT (Ujian Masa) akan diserahkan kepada Sapura (Sapura Cycling Team)," katanya.

Tegas Abu Samah, beliau tidak lagi mahu sebarang alasan diberikan nanti oleh pelumba sekiranya mereka gagal menyerah dan menyalahkan persatuan.

"Kali ini kita akan lakukan pendekatan berbeza sedikit daripada sebelum ini. Pelumba akan berlatih sendiri dengan pasukan. Kalau kita panggil mereka jalani latihan pusat nanti mereka akan bagi alasan tak dapat berlatih dan sebagainya.

"PKBM tak nak ganggu. Jadi kali ini kita buat perubahan selepas kalah di Myanmar, Indonesia dan Filipina. Sekarang kita bagi mereka kebebasan penuh. Sampai masa kita mahu mereka berikan terbaik.

"Pasukan benua negara ini ada yang juara Asia jadi takkan mereka tak boleh menang peringkat Asean," katanya.

Temasya Sukan Sea yang dijadualkan bermula 21 November hingga 2 Disember depan, akan membabitkan acara lebuh raya meliputi acara kriterium, ujian masa individu dan lepas beramai-ramai individu bagi lelaki dan wanita serta tambahan acara lepas beramai-ramai berkumpulan bagi wanita.

Manakala berbasikal bukit pula membabitkan acara relay, cross country dan downhill.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 2:14 PM