PAIRE tersingkir di Terbuka Argentina dengan cara yang paling hina. FOTO Agensi
PAIRE tersingkir di Terbuka Argentina dengan cara yang paling hina. FOTO Agensi
AFP

Buenos Aires: Pemain tenis Perancis, Benoit Paire tersingkir dari Terbuka Argentina dengan keadaan yang amat memalukan, apabila dipotong mata akibat meludah dan sengaja melakukan servis kurang sempurna sebelum kalah kepada pemain pilihan tempatan, Francisco Cerundolo.

Pemain nombor 29 dunia itu yang juga pilihan ketiga di Buenos Aires kalah 6-4, 3-6, 1-6 ketika berdepan lawan berusia 22 tahun (137 dunia).

Insiden pertama berlaku pada set kedua ketika Paire sedang mendahului 40-15 dan ketika itu Cerundolo melakukan servis dan servis sebelum itu berjaya dipatahkan.

Pemain berusia 31 tahun itu berang kerana servis Cerundolo yang menuju ke bahagian tengah dikira sebagai ace.

Paire berbalah dengan umpire dari Sepanyol, Nacho Forcadell dengan menyatakan bahawa servis berkenaan tidak boleh dikira.

Dia menunjukkan kesan (gelanggang tanah liat) di mana bola berkenaan menjunam namun gagal untuk meyakinkan pegawai perlawanan itu.

Paire kemudiannya meludah di kawasan berkenaan dan menjerit tanda protes sebelum dia diberikan amaran oleh Forcadell.

Walaupun dia berjaya meraih mata sebaik aksi bersambung, Paire dikenakan pemotongan mata untuk permainan seterusnya selepas sekali lagi meludah dan mempertikaikan keputusan Forcadell.

Ketika ketinggalan 1-5 (0-40) pada set penentuan dia melakukan servis pertama dengan bola terkandas di jaring.

Belum sempat budak pengutip bola hendak keluar dari gelanggang selepas mengutip bola servis pertama, Paire sudah melakukan servis kedua dengan sengaja memukul ke arah kawasan yang salah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 1:35 PM