Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jelas boling tetap bertakhta di hati apabila apabila ratu sukan itu, Shalin Zulkifli tetap giat merangka persiapan bagi menyertai kejohanan sirkit profesional boling yang berlangsung di Amerika Syarikat mulai April hingga Ogos 2021 walaupun sudah mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan.

Menurut Shalin, persiapan rapi sedang dilaksanakan bagi menyertai kejohanan berkenaan dalam usaha melengkapkan koleksi kejuaraan yang dimilikinya setakat ini.

"Saya akan tetap terus aktif selaku pemain boling profesional negara dan kejohanan ini ada dalam senarai saya.

"Sebabnya, saya sudah memenangi pada kejohanan Sukan SEA, Sukan Asia tetapi sirkit profesional ini saya tak capai (menang), lagi.

"Sebab itulah, saya 'go all out' untuk mencapainya tahun ini kerana tidak tahu berapa lama lagi saya mampu beraksi (dalm sukan boling)," katanya ditemui pada sidang media khas persaraannya, hari ini.

SHALIN dilihat sebak pada sidang media hari ini. FOTO Bernama
SHALIN dilihat sebak pada sidang media hari ini. FOTO Bernama

Menurutnya, sirkit profesional boling berkenaan juga agak berbeza dengan kejohanan lain.

Katanya sirkit berkenaan memerlukan atlet mengurus dan melakukan segala persiapan sendiri.

"Sebenarnya ini bukan kali pertama saya menyertai sirkit ini, kerana saya adalah antara atlet boling negara terawal yang menyertainya.

"Lagi pun sejak kecil, saya selalu tengok yang menang sirkit ini adalah 'mat saleh,' tapi sekarang atlet kita pun dah ada yang menang dan harapnya saya pun dapat ikut jejak langkah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 9:08 PM