ORTIZ berjaya meraih kejuaraan Terbuka Houston. FOTO Agensi
ORTIZ berjaya meraih kejuaraan Terbuka Houston. FOTO Agensi
AFP

Washington: Pemain golf Mexico, Carlos Ortiz meraih trofi pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) selepas membenam lima birdie untuk mencatatkan lima di bawah par 67 bagi membolehkan dia mendahului dua pukulan di Terbuka Houston.

Ortiz berjaya mengetepikan pemain ranking lebih tinggi, Dustin Johnson dan Hideki Matsuyama.

Dia berjaya melebarkan kedudukan dengan melakukan birdie di lubang terakhir di Memorial Park Golf Course di bandar Texas yang menganjurkan buat kali pertama saingan PGA selepas kali terakhir pada 1963.

"Ia penamat yang cemerlang dengan melakukan birdie pada lubang ke-18," kata Ortiz yang melakukan putt sejauh 6.7 meter bagi mengumpul keseluruhan 13 di bawah par 267.

Kejayaan itu membolehkan dia mendapat slot ke saingan Masters tahun depan.

Johnson yang juga pemain nombor satu dunia melakukan enam birdie dan satu bogey untuk menamatkan saingan 11 di bawah par 269.

Dia berkongsi kedudukan dengan Matsuyama, yang melakukan tujuh birdie tanpa sebarang bogey pada hari terakhir.

Matsuyama, yang juga juara lima kali Jelajah AS kekal tanpa sebarang kejuaraan sejak 2017, apabila kali terakhir dia meraih Terbuka Phoenix Open dan Kejuaraan Jemputan WGC Bridgestone.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 2:46 PM