DJOKOVIC menjadikan Sampras idolanya. FOTO AFP
DJOKOVIC menjadikan Sampras idolanya. FOTO AFP
AFP

Paris: Novak Djokovic menyamai rekod idola zaman kanak-kanaknya, Pete Sampras apabila menamatkan saingan tahun ini dengan menduduki ranking pertama dunia buat kali keenam.

Djokovic, 33, disahkan kedudukan itu selepas Rafael Nadal, satu-satunya seteru yang mampu merampas ranking pertama dunia, tidak beraksi pada kejohanan di Sofia minggu depan.

Djokovic juga memegang status pemain menduduki ranking pertama dunia selepas berakhir musim 2011, 2012, 2014, 2015 dan 2018.

"Pete adalah seseorang yang saya ingin ikut jejak langkahnya ketika membesar, jadi apabila dapat menyamai rekodnya, ia umpama impian menjadi kenyataan," katanya.

Bintang Serbia itu yang memenangi 17 gelaran Grand Slam, sudah mengatasi rekod Sampras menduduki ranking pertama sepanjang 286 minggu pada September lalu.

Djokovic berpeluang mengatasi rekod sepanjang zaman milik Roger Federer selama 310 minggu pada 8 Mac tahun depan.

"Untuk menamatkan saingan tahun ini di kedudukan pertama adalah salah satu pencapaian yang membanggakan dalam sukan ini di mana ia memerlukan kecemerlangan berterusan sepanjang musim," kata pengerusi ATP, Andrea Gaudenzi.

"Melihat Novak meraih pencapaian buat kali keenam dan menyamai rekod Pete adalah sangat luar biasa dan dia akan terus mengukuhkan kedudukannya dalam buku sejarah."

Djokovic melakar rekod kemenangan 39-3 pada musim ini dengan memenangi empat kejuaraan termasuk memenangi Terbuka Australia buat kali kelapan, Terbuka Dubai dan kejohanan Cincinnati yang berlangsung di New York dan Rome.

Bagaimanapun dia disingkirkan pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) kerana bola yang dipukulnya terkena penjaga garisan sebelum usahanya untuk memenangi Roland Garros buat kali kedua gagal selepas tewas di tangan Nadal pada aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 10:38 AM