PEMAIN SSTMI Wanita melakar kemenangan besar 4-1 ke atas NHDP Tengah, hari ini. FOTO ihsan NHDP.
PEMAIN SSTMI Wanita melakar kemenangan besar 4-1 ke atas NHDP Tengah, hari ini. FOTO ihsan NHDP.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Wanita mencerahkan peluang ke separuh akhir selepas menumpaskan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) Tengah, 4-1 dalam aksi Kumpulan A Piala Mirnawan, hari ini.

Selepas seri 2-2 dengan NHDP Selatan sebelum ini, kemenangan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu sedikit-sebanyak menaikkan motivasi pemain menjelang pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang wakil dari India, Sports Odisha, Rabu ini.

Menurut pengendali SSTMI Wanita, Azlizam Abdul Shukor, beliau bersyukur di atas kemenangan itu dan gembira melihat anak buahnya dapat menyempurnakan peluang terhidang.

"Setakat ini, Alhamdulillah mereka dapat menyempurnakan peluang untuk menghasilkan jaringan, sekali gus meraih kemenangan pertama.

"Barisan pemain pada aksi kali ini berpeluang untuk mempamerkan prestasi mereka dan lebih berdisiplin ketika melakukan pukulan sudut pendek.

"Mereka memang memerlukan persediaan seperti ini kerana kita meletakkan sasaran untuk ke separuh akhir.

"Jadi mereka perlu beraksi berhati-hati dan lebih baik dalam aksi peringkat kumpulan. Teknik dipamerkan juga terbaik sebab pemain Bawah 14 tahun tidak biasa dengan perlawanan kompetitif," kata Azlizam.

Tambah beliau, setakat ini anak buahnya berada dalam landasan sebenar untuk peringkat pembangunan hoki dan tidak boleh disamakan dengan peringkat senior.

"Setakat ini, saya lihat mereka berada pada landasan terbaik berdasarkan faktor usia mereka.

"Saya tidak boleh mengarahkan mereka buat lebih daripada itu, namun kejohanan ini sangat baik bagi pendedahan mereka," katanya.

Bagi Kumpulan B hanya tiga sahaja pasukan bersaing sesama sendiri untuk memburu slot dua terbaik yang menawarkan tempat ke separuh akhir.

Kumpulan B membabitkan NHDP Timur, NHDP Utara dan pasukan kebangsaan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 6:29 PM