Skuad projek khas wanita tiba di Muscat, Oman hari ini untuk mengambil bahagian di Piala Asia bermula 21 Februari. FOTO Ihsan KHM
Skuad projek khas wanita tiba di Muscat, Oman hari ini untuk mengambil bahagian di Piala Asia bermula 21 Februari. FOTO Ihsan KHM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berharap pasukannya dapat beraksi dalam satu perlawanan pemanas badan sebelum saingan Piala Asia Wanita di Muscat, Oman membuka tirainya pada 21 Februari ini.

Menurut Nasihin, beliau akan cuba mendapatkan China sebagai lawan mereka dalam satu perlawanan persahabatan selepas perancangan bertemu Korea sebelum tirai dibuka, tidak kesampaian.

"Sebenarnya pada awalnya, perancangan adalah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Korea Selatan namun mereka mempunyai perancangan lain.

"Kita akan cuba dapatkan pasukan negara lain untuk memberikan jawapan secepat mungkin nanti," katanya yang selamat tiba bersama pasukan di Muscat, Oman hari ini.

Ujar Nasihin, beliau akan bertemu pengurus pasukan ataupun jurulatih pasukan yang ingin ditentang untuk aksi persahabatan dan mengharapkan ada perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan bermula.

"(Pasukan perlawanan persahabatan) China kerana dalam jadual, kita ada latihan pada waktu petang dan sebelum ini pasukan China berlatih. Saya harap mereka sudi berlawan dengan kita," kata Nasihin.

Seramai 20 pemain menyertai skuad kendalian Nasihin di Muscat yang juga tugasan antarabangsa pertama mereka bagi tahun 2022 dengan kebanyakan pemain di bawah usia 23 tahun.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura manakala Kumpulan B menampilkan China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Kejohanan ini juga menjadi pusingan kelayakan ke Piala Dunia Wanita 2022 di Sepanyol dan Belanda pada Julai depan.

Untuk rekod, Malaysia pernah meraih pingat gangsa dalam edisi sulung kejohanan yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada 1985 dan ia adalah pencapaian terbaik pasukan setakat ini.

Malaysia yang diletakkan di dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura pernah merangkul gangsa dalam edisi sulung pada 1985 di Seoul, Korea Selatan, yang juga pencapaian terbaik mereka setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:43 PM