Malaysia selepas ini akan turun pada penentuan klasifikasi tujuh lapan Piala Dunia Remaja 2021. FOTO Ihsan FIH
Malaysia selepas ini akan turun pada penentuan klasifikasi tujuh lapan Piala Dunia Remaja 2021. FOTO Ihsan FIH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Wallace Tan melihat banyak pengajaran boleh diambil oleh anak didiknya terhadap kekalahan menentang Belanda, dalam aksi empat kelima hingga kelapan Piala Dunia Remaja yang berlangsung di Bhubaneswar, India, semalam.

Wallace berkata, walaupun anak didiknya menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan dan semangat juang yang tinggi namun terpaksa menerima kenyataan tidak cukup hebat lagi untuk menumpaskan Belanda.

Beliau berkata, Belanda sebagai sebuah pasukan yang lebih baik dan berada di kelas tersendiri sekali gus banyak perkara perlu diperbaiki bagi memastikan skuad negara tampil lebih meyakinkan pada perlawanan akan datang.

Katanya, tiga gol lawan dalam suku pertama perlawanan jelas mengganggu rentak permainan pasukan walaupun mereka sudah cuba untuk bangkit bermula dari suku kedua.

"Di suku ketiga, kita lebih melakukan serangan kerana perlawanan ini kalah mati. Oleh itu, kita kena buat lebih serangan untuk memenangi perlawanan ini walaupun ketinggalan.

"Namun di suku ketiga itu, walaupun kita meraih satu gol mereka juga berjaya melakukan tiga gol manakala di suku keempat kita masih belum mengalah, cuba juga mendapatkan gol walaupun sedar keadaan susah.

"Kita dapat menjaringkan dua gol dan mereka tiga gol. Kesimpulannya, mereka memenangi perlawanan ini tetapi kita juga sudah mencuba sebaik mungkin.

"Di sini kita boleh katakan, Belanda adalah sebuah pasukan yang baik dan kita belajar daripada perlawanan ini," katanya.

Pada perlawanan terdahulu, skuad hoki remaja negara terpaksa akur akan kehebatan pasukan Belanda apabila tewas 3-9 dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan.

Pemain Belanda, Miles Bukkens dan Duke Dommeshuijzen meledak hatrik buat pasukan itu manakala David Huussen menjaringkan dua gol sementara De Bie Max satu gol.

Enam gol Belanda terhasil menerusi pukulan sudut penalti dan tiga gol padang.

Malaysia pula, meraih dua gol padang menerusi kapten pasukan, Mohammad Akhimullah Anuar Esook dan Muhammad Firdaus Rosdi manakala Muhammad Fahmi Khalid menyudahkan pukulan sudut penalti.

Malaysia selepas ini akan turun pada penentuan klasifikasi tujuh lapan.

Pada edisi 2016 skuad Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dan terpaksa akur berada di kedudukan ke-11.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 1:59 PM