PEMAIN negara mengawal gawang daripada ditembusi pemain Perancis. FOTO FIH
PEMAIN negara mengawal gawang daripada ditembusi pemain Perancis. FOTO FIH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara mempunyai masa depan cerah biarpun tewas 0-4 kepada Perancis di peringkat suku akhir Piala Dunia Remaja di Bhubaheswar, India, semalam.

Pengurus pasukan, I Vikneswaran ketika dihubungi berkata, banyak perbezaan ketara dapat dilihat jika dibanding antara skuad 2016 dan kali ini.

Menurutnya, pemain dilihat bekerja keras untuk menjaringkan gol dan mereka sudah melakukan yang terbaik namun banyak kesilapan dibuat sehingga membenarkan lawan dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Vikneswaran berkata, kesemua empat gol Perancis itu datangnya daripada pukulan sudut penalti bukannya jaringan padang dan itu jelas menampakkan bahawa perbezaan di antara satu pasukan dan satu pasukan yang lain tidaklah begitu jauh. "Jika kita melihat perbezaan pada 2018 ketika skuad negara tewas kepada Belanda dengan jaringan 7-2, pasukan Belanda banyak jaringkan gol padang.

"Tapi kali ini, tiada satu gol pun daripada jaringan padang. Jadi kita harus perbaiki kelemahan itu. Perancis tahu dari segi permainan dan persaingan kita adalah seimbang dan mereka mengharapkan PC (pukulan sudut penalti) kerana mereka tahu mereka mempunyai dua flicker yang bagus," katanya.

Skuad bimbingan Wallace Tan ini akan berdepan Belanda dalam aksi penentuan tempat kelima dan kelapan esok dengan Vikneswaran berharap pemain akan turun dengan semangat melawan yang tinggi.

"Pemain perlu main untuk maruah. Inilah peluang mereka untuk merapatkan jurang atau peluang atasi Belanda. Bukan senang untuk menentang Belanda. Pemain perlu main untuk menang," katanya.

Untuk rekod pada edisi 2018, skuad negara tewas kepada Belanda 2-7 pada peringkat kumpulan yang mana Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:48 PM