MHC pertaruhkan 12 muka baru ke ACT. FOTO Ihsan MHC
MHC pertaruhkan 12 muka baru ke ACT. FOTO Ihsan MHC
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melakukan pertaruhan besar apabila membariskan 12 pemain yang tidak pernah membuat penampilan bersama skuad hoki wanita negara untuk beraksi di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae, Korea Selatan bermula 5 hingga 12 Disember depan.

Menerusi senarai nama 20 pemain yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan MHC, Datuk Ahmad Najmi Razak hari ini, hanya lapan pemain senior memperkuatkan skuad negara di kejohanan itu.

Malah Ahmad Najmi juga tidak menolak Malaysia adalah pasukan paling mentah di kejohanan itu kerana lima lagi pasukan lain pasti akan menghantar barisan pemain terbaik mereka.

Saingan itu akan menggunakan format round robin dengan skuad negara bakal berdepan India, China, Korea Selatan, Jepun dan Thailand.

"Seperti yang semua sedia maklum, ini adalah pasukan yang baru dibentuk selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu, mereka tidak menyertai mana-mana kejohanan atau latihan di luar negara kerana pandemik Covid-19.

"Saya percaya Malaysia adalah pasukan paling muda dalam kejohanan ini kerana pada masa sama, akan berlangsungnya kejohanan hoki Piala Dunia Remaja Wanita di Afrika Selatan.

"Sudah pasti barisan pemain muda negara yang layak beraksi di Piala Dunia (India, Korea Selatan dan Jepun) akan beraksi di Afrika Selatan dan pasukan senior mereka beraksi di Trofi Juara-Juara Asia," katanya pada sidang media hari ini.

Ahmad Najmi bagaimanapun percaya, skuad muda negara di bawah bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mampu memberikan tentangan sengit sekali gus cuba memperbaiki pencapaian pada 2018 apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat.

"Pada tahap kejohanan seperti ini apa saja boleh berlaku dan setiap perlawanan amat penting kepada kami.

"Jika pada edisi terdahulu kita menamatkan saingan di kedudukan keempat, harap kita boleh perbaiki kedudukan itu pada saingan kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 2:48 PM