AKHIMULLAH akui aksi menentang Belanda sangat penting sebagai persiapan terakhir memulakan saingan Piala Dunia Remaja. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
AKHIMULLAH akui aksi menentang Belanda sangat penting sebagai persiapan terakhir memulakan saingan Piala Dunia Remaja. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perlawanan persahabatan menentang Belanda pada Isnin ini akan digunakan sebaik mungkin oleh barisan pemain hoki remaja negara sebelum saingan sebenar Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja, Bhubaneswar India 2021 bermula dua hari kemudian.

Ia adalah penting buat kesemua pemain terutama kepada kapten pasukan Mohamad Akhimullah Anuar Esook mencari pendekatan terbaik sebelum turun menentang Chile untuk perlawanan pertama Kumpulan A.

Katanya, apa yang perlu diterapkan oleh pemain ketika ini adalah proses yang harus dilakukan pada perlawanan perlawanan pertama nanti.

"Pasukan dalam keadaan baik dan mereka semua optimis untuk beraksi dan ketika ini kami dalam persiapan untuk berdepan Belanda pada perlawanan persahabatan nanti.

"Biarpun ia hanyalah perlawanan persahabatan tapi penting untuk pemain dan saya tahu semua akan tetap beri yang terbaik," katanya yang turut beraksi bersama skuad kebangsaan di bawah bimbingan A Arul Selvaraj sebelum ini.

Penggempur Pasukan Hoki Terengganu berusia 21 tahun itu amat berharap pengalamannya beraksi bersama skuad senior akan membantunya memperkuatkan barisan serangan dalam memburu gol buat pasukan.

Katanya, keadaan cuaca di India ketika ini juga amat baik, tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas dijangka akan memberi kelebihan buat pemain.

Malaysia akan membuka tirai pertandingan melayan Chile pada 24 November ini jam 2.30 petang waktu Malaysia sebelum turun bertemu Belgium dua hari kemudian.

Skuad bimbingan Wallace Tan seterusnya akan menentang Afrika Selatan pada 27 November, perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 2:23 PM