FAIZAL mengesahkan dirinya positif Covid-19. FOTO Aswadi Alias
FAIZAL mengesahkan dirinya positif Covid-19. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Belum pun saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bermula, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menerima tamparan apabila penyerang kebangsaan, Faizal Saari dilaporkan positif Covid-19.

Faizal yang akan beraksi bersama skuad THT dalam hantaran Facebook memaklumkan bahawa dia disahkan virus itu.

Justeru pemain kebangsaan itu memohon sesiapa yang pernah berhubung dengannya dan kontak rapat diminta untuk menjalani ujian calitan.

"Saya positif Covid-19. Mana-mana kontak rapat atau pernah berjumpa saya dalam tempoh seminggu dua ini bolehlah buat ujian.

"Ini adalah isu yang sensitif harap semua pihak memahaminya.

"Saya juga nak pesan kepada semua agar sentiasa jaga diri, gunakan pelitup muka dan sentiasa pakai 'sanitizer'," katanya.

Terdahulu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bakal bermula dari 11 Mac sehingga 3 April depan dengan skuad gergasi Pantai Timur itu sudah pun berkampung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Jurulatih skuad itu, K Rajan ketika dihubungi berkata, seramai tiga pemain yang berada di Kuala Lumpur didapati positif tapi kesemua mereka tidak menunjukkan sebarang simptom dan sedang menjalani kuarantin selama 10 hari.

"Mereka sebelum ini tidak menunjukkan sebarang gejala malah boleh berlari lapan kilometer dan 10 km sama seperti yang lain tapi bila keputusan keluar keputusan positif. Sebab itu mereka perlu di kuarantin.

"Habis kuarantin saya yakin tiada masalah untuk mereka menyertai semua latihan dan beraksi seperti biasa," katanya.

Tegasnya, tiada apa yang membimbangkan dan yakin dapat menurunkan skuad terbaik THT pada aksi pertama saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 2:59 PM