JDT mengesahkan akan menyertai pertandingan eFootball yang pertama yang turut membabitkan kelab-kelab dari Asean. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
JDT mengesahkan akan menyertai pertandingan eFootball yang pertama yang turut membabitkan kelab-kelab dari Asean. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kelab Bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengorak langkah baharu apabila membabitkan diri dalam permainan E-Sukan yang menyaksikan kelab dari Asia Tenggara akan bertanding pada 9 September hingga 7 Oktober ini.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kelab itu bakal membuat penampilan pada pertandingan pertama Champions eFootball dan akan diwakili pemain JDT, Mohamadou Sumareh.

Tambah Tunku Ismail, turut menyertai dalam pasukan JDT adalah e-Footballer, Mohamad NorHaikal Noh, yang merupakan peserta separuh akhir Sukan Asia 2018 dan antara dua wakil Malaysia terbaik untuk PES 2020.

"Didorong oleh minat kami terhadap bola sepak, kami teruja untuk menjejakkan kaki ke dunia E-Sports sambil memaparkan lambang dan warna kelab kesayangan kami, JDT FC.

"Champions eFootball akan memberi kita peluang untuk mempamerkan bakat muda yang mewakili kelab sambil menarik penonton-penonton baru di E-Sports.

"Kami juga bersemangat untuk bersaing dengan kelab-kelab lain di rantau Asean dan menantikan perlawanan antarabangsa pada masa hadapan." kata Tunku Ismail.

Pasukan yang bertanding dalam Champions eFootball ialah Buriram United FC dan Chonburi FC dari Thailand, Persib Bandung FC ( Indonesia), Tampines Rovers FC (Singapura), United City FC (Filipina), Nagaworld FC (Kemboja) dan Ho Chi Minh City FC (Vietnam).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:50 PM