GAMBAR fail menunjukkan pertembungan antara Walker (kiri) dan Mbappe di peringkat kelab. FOTO Reuters
GAMBAR fail menunjukkan pertembungan antara Walker (kiri) dan Mbappe di peringkat kelab. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Satu daripada aspek menjadi bualan pada pertarungan suku akhir Piala Dunia antara England dan Perancis, awal pagi Ahad ini, adalah pertembungan satu lawan satu antara Kylian Mbappe dan Kyle Walker.

Ia diibaratkan sebagai perhitungan penyerang paling menyerlah di kejohanan dengan lima gol menentang pemain pertahanan paling pantas.

Mbappe cukup tajam di Qatar apabila menjaringkan gol menarik dan bermain secara bebas serta gembira yang jarang dilihat di pentas antarabangsa terutama dengan tekanan beraksi di kejohanan utama.

Bagaimanapun, selain skil, kemampuannya mengatasi pemain lawan dengan hanya menolak bola dan berlari melepasi halangan turut menjadi tumpuan.

Dia melakukannya dua kali ketika menewaskan Poland apabila pemain pertahanan berlari terlebih dahulu sebelum dia memintasnya dalam masa beberapa saat saja.

Bagi pembangunan taktikal bola sepak sejak 150 tahun lalu, kepantasan sudah pasti akan mengatasi segala-galanya.

Bagaimanapun, awal pagi Ahad ini, Mbappe akan berdepan pemain pertahanan yang berteraskan kekuatan sama iaitu kelajuan.

Kemampuan Walker mengatasi situasi dianggap bahaya dengan cepat menjadi antara sebab Manchester City menjadikannya sebagai pemain pertahanan paling mahal apabila ditandatangani dengan harga 50 juta pounds (RM268.22 juta), lima tahun lalu.

Kedua-dua pemain itu memiliki larian terpantas dalam sukan ini dengan kelajuan maksimum 36.5 kilometer sejam (km/j), tetapi betapa pantas mereka akan berada di sesuatu tempat akan mewujudkan perbezaan.

Kepantasan dalam jarak 5 hingga 10 meter (m) akan menjadi aset utama berbanding kelajuan pada 100m dan kedua-dua pemain memiliki kelebihan itu.

Mbappe lebih kurus berbanding Walker yang lebih berotot dan penyerang Perancis itu menyifatkannya sebagai 'kereta kebal yang mampu memecut'.

Pada ketika Mbappe, 23, diakui berada pada kemuncak tenaganya, masih belum jelas sama ada Walker, 32, sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha dialaminya Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 9:21 PM