PENYOKONG Maghribi memenuhi jalan di Rabat selepas pasukan mereka mara ke suku akhir Piala Dunia.
PENYOKONG Maghribi memenuhi jalan di Rabat selepas pasukan mereka mara ke suku akhir Piala Dunia.
AFP

Doha: Puluhan ribu penyokong Maghribi berpesta di Doha bagi meraikan negara mereka muncul pasukan pertama dari negara Arab mara ke suku akhir Piala Dunia semalam.

Walaupun berlaku kekecohan di luar stadium, kemenangan ke atas Sepanyol menjadi pesta kebanggaan Arab yang diraikan penyokong dari seluruh rantau itu.

Skuad Walid Regragui menang 3-0 menerusi penentuan penalti selepas perlawanan berakhir tanpa jaringan.

Penyokong bersesak di kawasan pasar Souq Waqif - pusat tumpuan penyokong Piala Dunia yang ditutup polis sejurus sebelum tengah malam dengan ribuan menunggu dalam beberapa kumpulan di pintu masuk berbeza.

Ketika pemain Maghribi meraikan kemenangan mereka di Stadium Education City, ramai penyokong di luar mengibarkan bendera Palestin menunjukkan kesatuan mereka di Piala Dunia.

"Ini Piala Dunia pertama di wilayah Arab dan kami membawa bendera Arab di kejohanan ini," kata Yussuf Akram yang mengibarkan bendera Maghribi dan Palestin dalam kesesakan penyokong.

Rakyat Arab Saudi, Qatar dan Mesir turut sama meraikannya sambil mengibar bendera masing-masing di kawasan pasar tradisional itu sambil dikawal pihak keselamatan.

"Ini mengenai rasa bangga, kami semua gembira dengan Maghribi," Aysha Bedawi yang datang dari Kaherah untuk menyaksikan Piala Dunia.

"Tidak kira pasukan mana mara ke peringkat ini selagi ia pasukan Arab dan kami mengharapkan kejayaan."

Pasukan Arab sebelum ini tiga kali mara ke saingan 16 terakhir di Piala Dunia - Maghribi (1986), Arab Saudi (1994) dan Algeria (2014).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 9:09 AM