DESCHAMPS (kanan) memeluk Mbappe selepas Perancis menewaskan Denmark, Sabtu lalu. FOTO EPA
DESCHAMPS (kanan) memeluk Mbappe selepas Perancis menewaskan Denmark, Sabtu lalu. FOTO EPA
Reuters

Doha: Perancis mahu mencari keseimbangan antara merehatkan pemain dan meneruskan momentum di Piala Dunia apabila menentang Tunisia pada perlawanan terakhir Kumpulan D, Rabu ini.

Juara bertahan itu sudah layak ke pusingan kalah mati ketika berbaki satu perlawanan susulan kemenangan 4-1 ke atas Australia serta 2-1 ke atas Denmark dan keputusan seri dengan Tunisia akan menyaksikan mereka muncul juara kumpulan.

Jika menduduki tangga teratas kumpulan, lawan mereka di pusingan kalah mati adalah pasukan di tangga kedua Kumpulan C iaitu Argentina, Arab Saudi, Poland dan Mexico.

Jurulatih, Didier Deschamps bersedia untuk merehatkan beberapa pemain utama dan memberikan minit permainan kepada pemain lain untuk aksi di Stadium Education City itu.

Kylian Mbappe dijangka direhatkan, tetapi penyerang itu memburu rekod di Qatar dan Deschamps mungkin menurunkannya untuk menambah jumlah jaringannya di Piala Dunia iaitu tujuh gol setakat ini, termasuk tiga daripadanya di Qatar.

Steve Mandanda dijangka diturunkan sebagai penjaga gol dan Deschamps mungkin memberi lebih masa kepada Jules Kounde bermain di bek kanan selepas menggantikan Benjamin Pavard ketika aksi dengan Denmark.

Keputusan terbesar Deschamps adalah sama ada menurunkan Raphael Varane atau sebaliknya, selepas bek tengah itu yang baru pulih daripada kecederaan hamstring diturunkan pada perlawanan kedua dan digantikan pada babak kedua.

"Saya belum bercakap mengenainya dengan jurulatih. Kami akan memikirkan apa yang terbaik untuk pasukan terlebih dahulu, kemudian apa yang terbaik untuk saya," kata Varane.

"Perkara terbaik adalah mendapatkan minit permainan, tetapi saya akan membincangkannya dengan jurulatih."

Pemain tengah, Aurelien Tchouameni dan Adrien Rabiot dijangka direhatkan kerana posisi mereka paling memerlukan kekuatan fizikal dalam sistem digunakan skuad Perancis.

Memandangkan Lucas Hernandez tersingkir daripada kejohanan kerana kecederaan serius, adiknya, Theo adalah satu-satunya bek kiri sejati masih kekal dalam skuad.

Deschamps mungkin menurunkan Eduardo Camavinga sebagai bek kiri selepas pemain tengah Real Madrid itu beraksi di posisi itu dalam beberapa aksi persahabatan dengan pasukan tempatan.

Di jentera depan, Olivier Giroud dijangka diturtunkan selepas menjelaskan masih memiliki kekuatan untuk beraksi dalam setiap empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 10:01 PM