ARIF Aiman (kiri) menjaringkan gol tunggal JDT yang tewas 1-4 kepada Borussia Dortmund FC. FOTO Bernama
ARIF Aiman (kiri) menjaringkan gol tunggal JDT yang tewas 1-4 kepada Borussia Dortmund FC. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) tewas 1-4 kepada kelab Bundesliga Borussia Dortmund pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Jelajah Asia BVB di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Ia adalah aksi persahabatan antarabangsa kedua antara JDT dengan Borussia Dortmund apabila pada aksi pertama pada 2015, JDT tewas 1-6.

Kekalahan kedua kali ini tidak perlu dikesali, sebaliknya ia memberi ruang buat pemain skuad Harimau Selatan mempelajari teknik permainan berkualiti yang dipamerkan skuad kendalian Edin Terzic itu.

Tanpa menurunkan beberapa tonggak utama selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia, Sabtu lalu, skuad kendalian Hector Bidoglio berusaha mengimbangi corak permainan pantas anak didik Terzic yang kerap menekan benteng skuad Harimau Selatan.

Hanya tempoh 10 minit permainan, Borussia Dortmund membuka tirai jaringan selepas bola rembatan Donyell Malen sempat ditampan penjaga gol, Farizal Marlias, tetapi Goktan Gurpuz pantas menyambar bola muntah dan merembat bola menerjah jaring.

Gol kedua Borussia Dortmund menjelma pada minit ke-31 selepas Malen merembat bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Farizal.

Namun kejutan dilakukan JDT pada minit ke-40 apabila Arif Aiman Hanapi merampas bola dan bertindak secara solo menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola menewaskan Alexander Meyer.

Bersambung babak kedua, Borussia Dortmund terus menggandakan asakan dan pada minit ke-59, Ole Pohlmann menggelecek pertahanan JDT sebelum merembat bola menewaskan Farizal.

Skuad The Black and Yellow itu terus menambah derita JDT pada minit ke-69 apabila Samuel Bamba yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan menggelecek Corbin Ong sebelum merembat kencang menewaskan Farizal untuk meletak pasukan pelawat dengan jaringan 4-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 9:46 PM