NEYMAR (kanan) ketika beraksi menentang Benfica. FOTO AFP
NEYMAR (kanan) ketika beraksi menentang Benfica. FOTO AFP
AFP

Lisbon: Ketua pasukan Paris Saint-Germain (PSG), Marquinhos mengakui bukan mudah untuk beraksi di Lisbon selepas mereka hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara.

Walaupun Lionel Messi berjaya menjaringkan gol cantik hasil rembatan lencong pada pertengahan separuh masa pertama namun gol sendiri Danilo Pereira sebelum rehat menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi tangga teratas Kumpulan H dengan memungut tujuh mata.

Kedua-dua pasukan gagal untuk mencatat kemenangan buat kali kedua musim ini dalam semua kejohanan namun empat mata meninggalkan Juventus, yang bangkit dari kekalahan berturut-turut dengan mengalahkan Maccabi Haifa 3-1 di laman sendiri.

"Kami tahu ia sukar untuk beraksi di gelanggang ini, dengan suasana seperti ini. Benfica adalah pasukan yang sedang berada pada prestasi terbaik," kata Marquinhos.

Messi hanya menjaringkan 11 gol daripada 34 aksi pertamanya bersama PSG musim lalu, namun sekarang sudah mengumpul lapan daripada 13 perlawanan.

"Ia perkara biasa, memang mengambil sedikit masa. Sekarang dia sudah berasa sedikit selesa. Saya harap Leo Messi melalui musim yang sempurna sehingga hujung musim untuk memenangi kejuaraan ini," kata Marquinhos.

Berada di tangga teratas liga Portugal walaupun kehilangan mata pertama hujung minggu lalu, Benfica berjaya memberi tekanan kepada PSG dan memulakan aksi dengan cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 9:17 AM