JAMES (kiri) mendapat pujian daripada jurulatihnya, Potter. FOTO EPA
JAMES (kiri) mendapat pujian daripada jurulatihnya, Potter. FOTO EPA
Reuters

London: Jurulatih Chelsea, Graham Potter individu terbaru yang memuji persembahan Reece James selepas pemain sayap itu dinobatkan pemain terbaik perlawanan apabila meledak gol terakhir luar biasa ketika menang 3-0 ke atas AC Milan dalam perlawanan Liga Juara-Juara pagi tadi.

Hantaran lintangnya juga membolehkan Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol kedua pada awal separuh masa kedua dan dia meledak gol ketiga apabila meloloskan diri dari sebelah kanan.

"Dia seorang pemain yang luar biasa dan masih muda untuk berkembang sepanjang masa agar menjadi lebih baik.

"Saya begitu teruja dapat bekerjasama dengannya. Dia sangat hebat dan tugas saya adalah cuba untuk membantunya mencapai potensi terbaik. Kami sangat menyukainya dan begitu penting buat kami.

"Dia mampu menjadi legenda Chelsea namun bagi membolehkan impian itu tercapai dia harus menjadi sebahagian daripada pasukan yang mampu mencipta kejayaan," kata Potter.

Potter berkata, pasukannya memberikan persembahan terbaik secara keseluruhan.

"Selain di penghujung separuh masa pertama, mereka tidak mempunyai banyak peluang dan itu menceritakan bagaimana kami bertahan sebagai satu unit.

"Anak buah saya sangat terbuka, bertanggungjawab, jujur dan hebat untuk bekerjasama. Mereka tahu tahap mereka sudah menurun sedikit dan itu bagus dari perspektif jurulatih," katanya.

Selepas mengutip satu mata daripada dua perlawanan awal, kemenangan itu meletakkan Chelsea kembali bersaing dan mereka perlu untuk mengekalkan momentum menentang pasukan sama di Itali minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 8:45 AM