AZAM Azih digantung satu perlawanan. FOTO FB Sri Pahang FC
AZAM Azih digantung satu perlawanan. FOTO FB Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Tiada kelibat pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih apabila Sri Pahang FC berdepan Sarawak United di Stadium Negeri, Sabtu ini.

Pengendali Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh berkata, ketiadaan Nor Azam itu akibat digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

"Bagi saya, tanpa Azam di bahagian tengah akan dirasai tetapi percaya dengan kemampuan pemain lain.

"Oleh itu, diharapkan pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama dapat beraksi dengan baik untuk memastikan keputusan positif berdepan Sarawak United.

"Pada masa sama, saya gembira Baqiuddin Shamsudin yang sebelum ini tidak bermain kerana menghadapi masalah peribadi sudah kembali bersama pasukan.

"Kembalinya Baqiuddin akan membantu memantapkan jentera tengah dan serangan," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Dalam pada itu, Dollah mahu keputusan positif diperolehi dalam empat baki perlawanan Liga Super.

Katanya, ia bermula dengan pertemuan dengan Sarawak United di tempat lawan dan disusuli tiga perlawanan di Stadium Darul Makmur.

"Bagi saya, empat perlawanan ini bakal meletakkan kedudukan Sri Pahang dalam saingan Liga Super musim ini.

"Kedudukan itu juga akan menentukan kedudukan dalam undian dalam saingan Piala Malaysia nanti.

"Oleh itu, empat perlawanan ini memerlukan skuad ini mencatat keputusan terbaik dalam kutipan mata," katanya.

Selepas mengharungi 18 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh dengan mengutip 21 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:11 PM